Sunday, May 23, 2010

Selawat Nur

Hikmah dari membaca selawat ini ialah menerangkan hati, dapat menyingkap rahsia-rahsia ilmu, boleh mengubati bisa-bisa dan pembuka rezeki atau kekayaan. Selawat ini hendaklah dibaca tiap-tiap hari 100 kali atau 92 kali

Selawat Tafrijiyyah/Nariyah



Selawat Nariyah disebut juga selawat "Tafrijiyyah" yang ertinya terbuka sehingga menjadi lapang. Selawat ini jika diamalkan dapat menghilangkan kesempitan dengan izin Allah. Bagi seseorang yang menginginkan agar kehidupan sehariannya berjalan lancar, jauh dari gangguan dan persaingan sebaiknyalah ia mengamalkan selawat Nariyah dengan membacanya selepas sembahyang fardhu sebanyak yang ia mampu. Bagi orang yang menghadapi kesempitan atau kebuntuan dalam menyelesaikan apa -apa masalah baik dalam bidang perdagangan atau di dalam menghadapi orang yang berniat jahat, maka selawat ini bolehlah dibaca sehingga 4,444 kali.

Kata Imam Addainuri Rahimahullah, siapa-siapa membacanya selawat ini tiap-tiap lepas sembahyang fardhu sebanyak 11 kali yang dijadikan sebagai wirid nescaya tidak putus rezekinya dan ia akan mencapai ke derajat yang tinggi. Dan kata Imam Al-Qurtubi pula siapa membaca akan selawat ini tiap-tiap hari sebanyak 41 kali nescaya Allah Ta'ala hilangkan dukacitanya dan diluaskan rezekinya dan dibukakan segala peluang yang berkebajikan dan dikasihi pula oleh orang ramai.

Menurut satu riwayat berkata Syed Muhammad Haki, pengasas wirid khaujakan dia telah mengajarkan selawat ini kepada orang buta selama dua puluh lima tahun. Kemudian seorang perempuan buta telah membaca dengan sempurna sehingga 4,444 kali dalam masa lapan hari; maka dengan izin Allah terbukalah kedua matanya.

Fadhilatnya:-

* Menurut Imam Ad-Dainuri, barangsiapa membaca selawat ini 11 kali setiap hari setiap selepas sembahyang lima waktu, rezekinya tidak putus-putus dan mendapat kedudukan yang tinggi.
* Menurut Imam Al-Qurtubi, barangsiapa membaca selawat ini 41 kali atau 100 kali, Allah akan menghilangkan segala dukacita dan dimudahkan segala urusan kehidupan.
* Barangsiapa membaca selawat ini 313 kali setiap hari, nescaya akan terbuka beberapa rahsia ghaib.
* Barangsiapa membaca selawat ini 4,444 kali, akan tercapai segala cita-cita dan hajat di dunia dan akhirat

Selawat Ibrahimiyah


Berkata setengah ulama sesiapa membaca selawat ini 1000 kali Insya Allah dia akan bertemu Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam di dalam tidurnya. Dan Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sesiapa yang membaca selawat ini nescaya aku saksikan baginya di hari qiamat dengan pengakuan dan aku beri syafaat baginya."

Lafaz selawat ini sebagus-bagus dan selengkap-lengkap dan sempurna-sempurna lafaz ke atas junjungan Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Sebab itu selawat ini ditentukan bacaannya di dalam sembahyang.

Fadhilatnya:-
  1. Menurut Ahmad As-Shawi, barangsiapa membaca selawat ini akan mendapat syafaat dan pertolongan Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam di hari qiamat.
  2. Mendapat pahala yang besar kerana selawat ini tergolong sebagai selawat utama

Selawat Li Tausii'il Arzaaq


Selawat ini akan dapat melapangkan rezeki seseorang yang mengamalkannya. Hendaklah ia dibaca setiap hari selesai sembahyang seberapa banyak yang mampu. Insya Allah Tuhan akan memberikan rezeki dengan lancar dan berkat dan dijauhkan dari malapetaka yang merugikan.

Fadhilatnya:-
Barangsiapa membaca selawat ini 11 kali setiap selepas sembahyang lima waktu, nescaya Allah akan meluaskan rezeki dan baik akhlaknya

Sejarah Doa Angin Ahmar

Penyakit Angin Ahmar ialah penyakit mati sebahagian badan, yang biasanya datang dengan tiba-tiba dan sukar pula untuk diubati. Walau bagaimana pun dengan rahmat dan belas kasihan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya maka melalui Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam umat Islam dikurniakan Doa yang sangat mustajab dan besar faedahnya bagi menjauhi penyakit tersebut disamping lain-lain penyakit berbahaya dan bala bencana.

Penyakit Angin Ahmar ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri, telah ada semenjak zaman Nabi Sulaiman a.s..Semasa baginda menerima mengadap segala rakyatnya termasuk segala jin, manusia dan binatang, tiba-tiba baginda merasa ujub atau bangga diri; dalam hatinya berkata siapakah makhluk Allah yang tidak mahu tunduk kepadanya.

Seketika itu juga menjelma satu makhluk seperti lembaga manusia, yang besar, gagah dan hebat serta garang. Nabi Sulaiman terkejut dan menggeletar lalu bertanya kepada lembaga itu siapakah dia, dan mengapa ia datang. Lembaga itu menjawab bahawa dia bernama Ar-Raihul-Ahmar (Angin Ahmar) iaitu penyakit yang amat berbahaya dari lain-lain penyakit. Ia diberi kuasa untuk mendatangkan kesakitan kepada anak cucu Adam, termasuk boleh meresap masuk ke dalam urat saraf dan darah, dan juga otak seseorang hingga hilang akal.

Nabi Sulaiman segera mengarahkan panglima-panglimanya agar membunuh Ar-Raihul-Ahmar itu; namun lembaga itu menjawab bahawa tiada sesiapa makhluk yang boleh membunuhnya, lalu segera menghilang. Angin Ahmar itu masih ada hingga zaman Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam dan zaman kita sekarang. Pada zaman Nabi Muhammad cucu baginda iaitu Saiyidina Hassan bin Ali pernah terkena penyakit rongga dan keluar darah. Ketika itu turun Malaikat Jibril dan memberitahu baginda bahawa Hassan terkena penyakit Angin, lalu baginda bertanya adakah ubat penawarnya. Jibril menjawab ada lalu ghaib. Sebentar kemudian Jibril kembali dan memberitahu Rasulullah, bahawa Allah SWT telah mengurniakan Doa mustajab bagi sesiapa yang membacanya walau pun sekali seumur hidupnya. Baginda pun membaca doa ini; lalu dengan sebentar itu juga sembuhlah Saiyidina Hassan, boleh berdiri dan sihat walafiat. Baginda lalu menganjurkan kepada para sahabat agar mengajarkan Doa ini kepada umat Islam sekalian.

Mereka yang terkena penyakit Angin Ahmar ini hendaklah berusaha mengamalkan membaca Doa ini seberapa kerap, terutama selepas solat. Setengah ulama menulis Doa tersebut dengan dakwat pada mangkuk atau pinggan putih; kemudian dibasuh dengan air lalu sebahagiannya diminum dan sebahagiannya disapukan pada anggota yang terkena penyakit tersebut. Yakinilah doa ini, kerana dengan keyakinan itu insya-Allah mereka yang terkena penyakit Angin Ahmar itu akan segera sembuh, terutama bagi yang belum terlalu berat penyakitnya.

Amalkanlah membaca Doa ini selalu, paling kurang sekali seumur hidup, insya-Allah akan terhindar dari penyakit yang berbahaya ini.


DOA MOHON DIJAUHI DAN DISEMBUHKAN DARI PENYAKIT ANGIN AHMAR







Maksudnya:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; dan dengan-Nya kami memohon pertolongan; dan dengan Allah; dan dari Allah; dan kepada Allah; dan segala pujian tertentu bagi Allah; dan tiada Tuhan melainkan Allah; dan Allah Maha Besar, yang Maha Mulia dan Maha Agung; yang aku takut dan bimbang terhadap-Nya. Allah Maha Besar dengan segala kebesaran-Nya; segala pujian tertentu bagi Allah, sebanyak-banyak pujian. Dan Maha Suci Allah pagi-pagi dan petang-petang. Dengan nama Allah yang menyembuhkan, dengan nama Allah yang mencukupkan; dan dengan nama Allah yang menyihatkan; dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tiada memberi mudharat sesuatu apa jua di bumi dan di atas langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan Kami turunkan sesetengah dari Al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat untuk orang-orang yang beriman.

Ya Allah, aku yang menjampi dan Engkau yang menyembuhkan. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang telah Engkau takdirkan. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Aku berlindung dengan Allah, Tuhanku dan Penciptaku, Pembentukku dan Pencipta Rupabentukku dan Pemberi Rezeki sekalian manusia. Aku berlindung dengan Allah daripada sekalian kebinasaan, dan segala maksiat, bala bencana, penyakit dan segala kesakitan, kemalasan, kemunduran dan kebinasaan.

Ya Allah, lindungilah penanggung (pengguna) suratku ini dengan nama-Mu yang Maha Mulia dan Maha Agung; dan sifat-sifat-Mu yang sempurna, wahai Yang Mempunyai Kebesaran dan Kekayaan. Wahai Tuhan yang memiliki kerajaan dan alam malakut; wahai Tuhan yang memiliki keagungan dan kegagahan. Maha Suci Engkau, alangkah besarnya Engkau wahai pencipta segala langit dan bumi. Wahai Tuhan tempat berlindung mereka yang menyesal (akan dosa-dosa mereka); wahai Tuhan yang Maha Pengasih terhadap orang-orang miskin; wahai Tuhan pemilik kebesaran dan kekuasaan, wahai Tuhan yang mempunyai belas kasihan dan memberi kebajikan dan Ihsan; wahai Tuhan yang banyak kasih sayang, wahai Tuhan yang banyak memberi; wahai Tuhan yang Maha Gagah dan tiada sesiapapun yang mampu mengalahkan-Nya; wahai Yang Melindungi dan Dia tidak memerlukan perlindungan, aku berlindung dengan-Mu dari azab ke atas badan dan kesempitan; dan aku berlindung dengan-Mu dari penyakit Angin Ahmar dan penyakit yang besar yang menimpa ke atas diri dan roh, darah dan daging, tulang dan kulit, urat dan urat saraf.

Maha Suci Engkau; yang apabila Engkau menghendaki sesuatu maka Engkau hanya mengatakan “Jadilah! Maka jadilah ia”. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Wahai Tuhan yang menjadikan; wahai Tuhan yang membuat kebajikan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan, wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai Tuhan yang Maha Adil, wahai Tuhan yang Berdiri dengan Keadilan, wahai Tuhan yang mendengar tangisan orang-orang yang meminta pertolongan. Wahai Tuhan yang memulakan (dari tiada kepada ada), wahai Tuhan yang mengembalikan, wahai Tuhan yang menolak, wahai Tuhan yang Mencukupkan. Wahai Tuhan yang menyembuhkan, wahai Tuhan yang meng’afiatkan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan terhadap orang yang memohon pertolongan.

Wahai Tuhan yang menerima kesyukuran, wahai Tuhan yang banyak memberi balasan atas kesyukuran. Wahai Tuhan yang Maha Kasih Sayang, wahai Tuhan yang Maha Belas Kasihan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan, wahai Tuhan yang Maha Berkuasa, wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai yang Maha Berkuasa, wahai Tuhan yang Maha Agung, wahai Tuhan yang mendahulukan, wahai Tuhan yang mengkemudiankan. Wahai Tuhan yang hidup, wahai Tuhan yang berdiri dengan sendiri-Nya, yang membalas mereka yang jujur dengan balasan ke atas tiap-tiap diri dengan apa yang mereka usahakan. Wahai Tuhan yang memerintahku, wahai Tuhanku yang memiliki aku, wahai Tuhan yang memberi perlindungan.

Wahai yang Maha Mengetahui sesuatu yang kami sembunyikan dan kami dedahkan; wahai Hakim yang menjatuhkan hukuman, wahai Tuhan yang memerintah sekalian orang-orang yang beriman; wahai Tuhan pembantu orang-orang yang dhaif dan miskin; wahai Tuhan yang Mencukupi keperluan orang-orang yang bertawakkal.

Wahai Tuhan yang mendatangkan malam ke atas siang dan siang ke atas malam; wahai Tuhan yang Gagah (mengalahkan) setiap syaitan yang sangat durhaka, wahai Tuhan yang mengalahkan setiap orang yang sombong lagi degil; wahai Tuhan sebaik-baik Pemerintah; wahai Tuhan yang sebaik-baik memberi pertolongan, wahai Tuhan yang memberi rezeki kanak-kanak yang kecil, wahai Tuhan yang Maha Pengasih terhadap orang tuan (yang sangat tua), wahai Tuhan yang memerintah orang-orang yang beriman; wahai Tuhan bagi orang-orang yang dahulu dan orang-orang yang kemudian; wahai Tuhan yang pengasih kepada orang-orang yang bertaubat, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari kalangan yang mengasihi. Wahai Tuhan sebaik-baik pengampun dari yang mengampuni; wahai Tuhan sebaik-baik pewaris; wahai Tuhan sebaik-baik Pemberi Keputusan; wahai Tuhan yang memerintah pada Hari Pembalasan.

Ya Allah, hanya Engkaulah yang aku sembah dan hanya kepada Engkaulah aku memohon pertolongan. Dan kepada-Mu aku bertawakkal. Dan kepada-Mu aku gemar dengan apa yang ada di sisi-Mu. Kepada-Mu aku berharap dan hanya Engkau yang aku takuti. Ya Allah, peliharalah aku dari segala kepayahan hidup dan penyakit-penyakit dan segala kesakitaan dan kesusahan dan darah hitam.

Ya Allah, peliharalah aku dari penyakit yang merbahaya dan dari penyakit Angin Ahmar dan penyakit darah kuning, dan segala kebinasaan dan segala maksiat dan pengsan, dan kerungsingan dan kesedihan dan dukacita dan dari di penjara. Ya Allah, peliharalah aku dari kejahatan binatang buas, dan binatang yang melata, serta permusuhan (benci membenci) orang awam, dan dari kekalahan dan kejahatan syaitan; dan raja, kemarau, kemahalan barang keperluan, dan gempabumi, dan bala bencana, dan keruntuhan bangunan, dan serangan musuh. Ya Allah, peliharalah aku dari kejahatan orang-orang yang jahat dan tipudaya orang-orang yang melampau, dan dari sesuatu yang silih berganti atasnya oleh malam dan siang melainkan yang datang itu adalah dengan baik, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan setiap kejadian yang Engkaulah pemegang ubun-ubunnya; sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang tegak dan lurus. Engkau ialah Tuhanku dan di atas Engkau jua aku bertawakkal, dan Engkaulah yang Mencukupkan aku, dan sebaik-baik yang Mewakili, sebaik-baik Pemerintah dan sebaik-baik yang Memberi Pertolongan. Dan tiada daya upaya bagiku melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Dan cukuplah kami oleh Allah, dan sebaik-baik yang mewakili sebagai Pemerintah dan Engkau sebaik-baik pemberi pertolongan. Allah yang mencukupkan, Allah yang menyembuhkan, Allah yang memberi a’fiat. Dan ucap selawat oleh Allah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya; selamat sejahtera; dan segala pujian bagi Allah Tuhan Pemerintah Seluruh Alam. Amiin

Khasiat Madu Lebah Asli

  1. Dapat mengubati penyakit dalam perut.
  2. Dapat mengubati penyakit medu.
  3. Dapat membuangkan kekotoran yang terdapat di dalam usus-usus kecil dan besar (perut).
  4. Dapat mengubati penyakit ketagihan dadah. Caranya madu dicampurkan dengan minyak/air bunga mawar yang panas, lalu diminum.
  5. Dapat melawaskan pembuangan air besar.
  6. Boleh mencerahkan mata. Caranya: Lumurkan ke bahagian kening/alis mata.
  7. Boleh memutihkan gigi dan menguatkannya dengan menjadikannya sebagai ubat gigi.
  8. Menghilangkan penyakit banyak kahak.
  9. Menghilangkan kesan-kesan pati candu rokok yang melekat di bahagian paru-paru.
  10. Mencerdaskan otak kanak-kanak.
  11. Menghilangkan kesan terkena api, air panas dan minyak panas. Sapukannya ke tempat yang terlibat.
  12. Sesuai untuk mengubati setiap penyakit, caranya: Ambil air hangat dan campurkan madu 2 sudu besar, kacaukan lalu diminum.

AMARAN:
Dilarang sama sekali memakan buah tembikai (timun cina) bersama-sama dengan madu kerana boleh membawa maut

7 Kalimah Untuk Diamalkan

Barang siapa hafal tujuh kalimath, ia terpandang
mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni
dosa-dosanya walau sebanyak busa laut.

1. Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak
melakukan sesuatu.

2. Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai
melakukan sesuatu.

3. Mengucap Astagfirullah jika lidah terselip
perkataan yang tidak patut.

4. Mengucap Insya Allah jika merencanakan
berbuat sesuatu di hari esok.

5. Mengucap La haula wala quwata illa billah jika
menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.

6. Mengucap inna lillahi wa inna ilaihi raji'un jika
menghadapi dan menerima musibah.

7. Mengucap La ilaha illAllah Muhammadur
Rasulullah sepanjang siang dan malam sehingga
tak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi, mudah-
mudahan ingat, walau lambat-lambat mudah-
mudahan selalu, walau sambil lalu mudah-
mudahan jadi bisa, karena sudah biasa.

WASIAT NABI MUHAMMAD Shallallahu 'Alaihi Wasallam kepada SAYYIDINA ALI R.A.;


Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda2nya:


1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yg haram.
3) Merendahkan diri.

Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda2nya:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yg menimpanya.

Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda2nya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam
keharaman.

Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda2nya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Kehebatan Surah Al-Ikhlas...



Bismillaahirrahmaanirrahiim"

Tafsirannya:
Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, Allah yang Maha
Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan
bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita
dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing
kepanasan.Sebelum anda masuk rumah, bacalah ayat di atas,kemudian bacalah
surah Al-Ikhlas (iaitu ayat: Qulhuwallahu ahad. Allah hush shamad. Lamyalid walam
yuu-lad. walam yakul lahuu kufuwan ahad.) sebanyak 3 kali.

Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam
kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana
malaikat rumah akan menyahut. Amalkanlah bersolat kerana salam pertama
(ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab
persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang
bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap
bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya
menjawab salam malaikat itu.

Diriwayatkan oleh Iman Bukhari sabda Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam:
"Barang siapa membaca Qul huwallahu ahad 100,000 kali maka sesungguhnya ia
telah menebus dirinya dari Allah, maka menyeru yang menyeru dari pihak Allah
di langit dan di bumi. Kusaksikan bahawa si fulan itu telah menjadi
pemerdekaan Allah sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari sisi Allah,
Sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari neraka". Inilah yang dinamakan
membaca Qulhuwallahu ahad satu hatam yaitu 100,000 kali dengan diwiridkan
seberapa ribu kesanggupan kita sehari.

Sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermaksud:
Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal
dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari
kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka
melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. (Demikian
diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby). Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bertanya
sebuah teka-teki kepada umatnya. Siapakah antara kamu yang dapat khatam
Qur'an dalam jangkamasa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang
menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk
mengatam Qur'an dalam begitu cepat. Kemudiannya Sayyidina Ali mengangkat
tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina
Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu.
Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam
menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah
Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran. Lalu
dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana
ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran...

Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda:
Ketika saya (Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam) israk ke langit, maka saya telah melihat 'Arasy
di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah
300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara
sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur
hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang
mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca
surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami,sesungguhnya pahala
dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas
baik ianya lelaki mahupun perempuan.

Sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam lagi:
Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahad itu
tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap
malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat
Izrail a.s, Walam yakullahuu kufuwan ahad tertulis pada sayap malaikat
Israfil a.s. Siapa membaca surah Fatihah, al-ikhlas, al-falaq, and an-annas
setiap satu sebanyak 7 kali selepas solat jumaat, nescaya terpelihara dari
perkara keji dan segala bala hinggalah ke jumaat yang berikiutnya.

Jika dibaca 3 surah ini al-ikhlas, al-falaq and an-nas pagi dan petang
nescaya tidak mengalami apa-apa kesusahan.

Waktu-Waktu Yang Dilarang Meminum Air

Seboleh-bolehnya jangan meminum air di waktu-waktu berikut:

  1. Selepas bersenaman, bersukan atau bekerja berat.
  2. Selepas bersetubuh.
  3. Selepas makan atau sebelumnya.
  4. Ketika sedang makan.
  5. Selepas memakan buah-buahan.
  6. Selepas keluar dari bilik mandi.
  7. Ketika terjaga dari tidur

FADHILAT SELAWAT

1. SELAWAT ALLAH KE ATAS ORANG YANG BERSELAWAT KEPADA NABI SHALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM

Imam Muslim berkata (408). Dari Yahya ibnu Ayyub dan Qutaiba ibnu Hajar berkata dari Ismail ibnu Ja'far dari Ala dari ayahnya dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

"Barangsiapa berselawat sekali ke atasku, Allah berselawat sepuluh kali ke atasnya."

Maksud Allah berselawat ke atas hambaNya adalah: Allah memujinya di hadapan para malaikat di Mala-il-A'la (langit).

Dan diriwayatkan oleh Abu Daud (1530), An Nasa'i (3/50), At-Tirmidzi (485) mengatakan hadith ini hadith hasan sahih, dan diriwayatkan oleh Ahmad (2/372, 375, 485), Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad (645), Ad Daarimi (2772), Ibnu Hibban (903) dan lain-lain.

2. MENGHAPUS DOSA

Tirmidzi berkata (2457) Hunad dan Qubaishah berkata kepada kami dari Sufyan dari Abdillah ibnu Muhammad ibnu Aqil dari Thufail ibnu 'Abiyah ibnu Kaab dari ayahnya berkata: Bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bangkit pada sepertiga malam dan bersabda:

"Wahai manusia! Ingatlah Allah, ingatlah Allah, tiupan sangkakala (pertama) pasti datang diikuti tiupan sangkakala (kedua) maut terjadi di dalamnya, maut terjadi di dalamnya."

Ayahku berkata: Ya Rasulullah! Sungguh aku akan memperbanyak selawat keatasmu.

Berapa banyak aku harus berselawat ke atasmu?

Beliau menjawab: "Terpulang kepadamu". Aku berkata: Seperempat?

Beliau berkata: "Terpulang kepadamu, jika kamu tambah, itu lebih baik bagimu."

Aku menjawab: Setengah?.

Beliau berkata: Terpulang kepadamu, jika kamu tambah, itu lebih baik bagimu."

Aku menjawab: Sepertiga?.

Beliau menjawab: "Terpulang kepadamu, jika kamu tambah, itu lebih baik bagimu."

Aku berkata: "Akan kujadikan seluruh selawatku untukmu."

Beliau menjawab: "Kalau begitu, maka kesusahanmu dilenyapkan dan dosamu dihapuskan."

(Hadith hasan lighairihi)

Dan diriwayatkan oleh Ahmad (5/136), Al-Hakim (2/513), Abdu bin Hamid (170), Ibnu Abi 'Aasim (58), Ismail Al-Qaadhi (14), Al-Baghawi dalam tafsirnya (4/443), Al-Baihaqi dalam Asy-Sya'bu (1579), Abu Naim dalam Al-Hilyah (1/256), dan ada saksi mursal dan sahih dalam Al-Mushnaf untuk Abdur-Razzaq (3114), Ismail Al-Qadhi (13), dan saksi lain dianggap dhaif menurut At-Thabrani (3574), Ibnu Abi 'Aasim (60) dan Al-Bazzar (3158).

3. MENGANGKAT DARJAT

Nasa'i berkata: Ishaq bin Mansur, Muhammad bin Yusuf, Yusuf bin Abi Ishaq berkata kepada kami dari Buraidah bin Abi Maryam berkata: Anas bin Malik berkata kepada kami: Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

"Barangsiapa berselawat sekali ke atasku, Allah berselawat sepuluh kali selawat ke atasnya dan dihapus darinya sepuluh kesalahan dan diangkat baginya sepuluh darajah."

(Hadith hasan)

Dan diriwayatkan oleh Ahmad (3/102), Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad (643) Ibnu Hibban (901), Al-Hakim (1/550), Ibnu Abi 'Aasim dalam keutamaan selawat ke atas Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam (39) Ibnu Abi Syaibah (2/399) kesemuanya meriwayatkan dari Anas.

4. SELAMAT DARI KERUGIAN PADA HARI KIAMAT

Imam Ahmad berkata dalam musnadnya (463/2) Abdur Rahman berkata kepada kami dari Syu'bah dari Al-Amasy dari Abi Saleh dari Abi Hurairah dari Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

"Tiadalah suatu kaum duduk di suatu majlis, mereka tidak menyebut Allah Azza Wajalla dan berselawat ke atas Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam, melainkan mereka ditimpa kerugian pada hari kiamat, sekalipun mereka masuk syurga kerana pahala."

(Sanadnya sahih).Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban (589, 590)

5. JALAN KELUAR DARI KEGELAPAN MENUJU CAHAYA

Muslim (408) meriwayatkan dalam sahihnya dari hadith Abi Hurairah bahawa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

"Barangsiapa berselawat sekali ke atasku, Allah berselawat sepuluh kali ke atasnya."

Ini bermakna bahawa selawat seorang hamba ke atas Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam dapat mendatangkan selawat Allah ke atas seorang hamba dan selawat Allah ke atas seorang hamba dapat membawa mereka dari kegelapan menuju cahaya.

Ibnu-Qayyim berkata dalam "Al-Wabil Ash-shayyib" halaman 72: Sesungguhnya bagi orang yang berdzikir hendaklah berusaha sehingga Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat ke atasnya-yaitu dengan berselawat ke atas Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam, kerana barangsiapa yang Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat ke atasnya maka beruntunglah dan berjayalah ia dengan sebenar-benar kejayaan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

"Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikatNya (memohon ampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkanmu dari kegelapan kepada cahaya yang terang, dan Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman."

(Al-Ahzab: 41-43)

Selawat ini datang dari Allah Tabaraka wa Ta'ala dan malaikat-malaikatNya, di mana ia merupakan sebab keluarnya mereka dari kegelapan menuju cahaya dan sekiranya mereka telah memperoleh selawat Allah Tabaraka wa Ta'ala dan malaikat-malaikatNya dan Allah keluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya, maka kebaikan yang mana lagi yang belum mereka perolehi dan kejahatan yang mana lagi yang belum Allah palingkan daripada mereka?

Duhai betapa ruginya orang-orang lalai dari Tuhannya, mereka telah mensia-siakan kebaikan dan kurniaNya ... semoga Allah memberi taufiq kepada mereka.

KELEBIHAN SURAH AL-MULK



Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia menyelamatkan pembaca-pembacanya dari siksa kubur. Sejarah telah membuktikan seperti yang berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Ibnu Abbas menceritakan:

"Pernah suatu ketika setengah para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka sebenarnya tidak menyangka tempat itu adalah kubur. Setelah beberapa ketika berada di dalam khemah, mereka tiba-tiba terdengar suara orang membaca Surah Al Mulk dari mula hinggalah akhirnya. Suara itu datangnya dari dalam tanah. Tahulah mereka, sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur. Kemudian hal itu diadukan kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam lalu baginda bersabda yang bermaksud: "Surah Al Mulk adalah surah pelepasan kerana ia menghindar pembacanya dari azab neraka."

Meskipun begitu, Surah Al Mulk juga mempunyai kelebihan-kelebihan yang lain. Di sini penulis bentangkan sebahagian daripadanya sahaja. Diantaranya:

1. Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun unutuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk."

2. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur."

3. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya."

4. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur."

5. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai pengganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir.

6. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga."

7. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga."

8. Ulama berkata: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam tidak akan beradu melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk."

9. Ulama berkata: "Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat di hadapan tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari azab api Neraka."

10. Saiyidina 'Ali berkata: "Barangsiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf."

11. Ulama berkata: "Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Barangsiapa mengamalkannya nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk."

12. Saiyidina 'Abdullah bin Abbas berkata: "Barangsiapa membaca surah Al Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke pihak kepala, terdengar satu seruan: "Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk."
Begitulah keadaanya bila azab itu pergi ke pihak kaki dan perutnya. Kerana semuanya mengandungi surah Al Mulk.


AIR MATA, CAHAYA DAN KALA JENGKING

Air Mata Nabi Adam

Tahukah saudara semenjak Nabi Adam terkeluar dari syurga akibat tipu daya
iblis, beliau menangis selama 300 tahun. Nabi Adam tidak mengangkat kepalanya ke langit kerana terlampau malu kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Beliau sujud di atas gunung selama seratus tahun. Kemudian menangis lagi
sehingga air matanya mengalir di jurang Serantip. Dari air mata Nabi Adam
itu Allah tumbuhkan pohon kayu manis dan pokok cengkih. Beberapa ekor
burung telah meminum air mata beliau. Burung itu berkata, "Sedap sungguh air ini."

Nabi Adam terdengar kata-kata burung tersebut. Beliau menyangka burung itu
sengaja mengejeknya kerana perbuatan derhakanya kepada Allah. Ini
membuatkan Nabi Adam semakin hebat menangis. Akhirnya Allah telah menyampaikan wahyu yang bermaksud, "Hai Adam, sesungguhnya aku belum
pernah menciptakan air minum yang lebih lazat dan hebat dari air mata
taubatmu itu."

Tiga Cahaya Di Hari Kiamat

Di hari kiamat ada tiga cahaya yang berlainan :
* Cahaya yang pertama seperti bintang-bintang.
* Cahaya yang kedua seperti cahaya bulan.
* Cahaya yang ketiga seperti cahaya matahari.

Apabila ditanya cahaya apakah ini ?. Lalu dijawab :
"Cahaya yang pertama ialah cahaya wajah-wajah manusia
yang ketika di dunia, mereka akan meninggalkan pekerjaan dan terus bersuci
dan mengambil air sembahyang apabila terdengar azan.

Yang kedua ialah cahaya wajah mereka yang mengambil
air sembahyang sebelum azan.

Cahaya yang ketiga ialah cahaya mereka seperti matahari. Mereka di dunia sudah bersiap sedia di dalam masjid sebelum azan lagi."

Kala Jengking Neraka

Di hari kiamat akan keluar seekor binatang dari neraka
jahanam yang bernama "Huraisy" berasal dari anak kala jengking. Besarnya
Huraisy ini dari timur hingga ke barat. Panjangnya pula seperti jarak langit
dan bumi.

Malaikat Jibril bertanya : "Hai Huraisy! Engkau hendak ke mana dan siapa yang kau cari ?" Huraisy pun menjawab, "Aku mahu mencari lima orang. Pertama, orang yang meninggalkan sembahyang. Kedua, orang yang tidak mahu keluarkan zakat. Ketiga, orang yang derhaka kepada ibubapanya. Keempat, orang yang bercakap tentang dunia di dalam masjid. Kelima, orang yang suka minum arak."
AYAT-AYAT PENGHALAU SYAITAN

seperti mana yang pernah ditulis oleh Syeikh Abd. Majid Abd. Aziz Az-Zaahim dalam kitabnya, Illaj Al Amrad Bil Quran Was Sunnah bahawa beliau mengatakan sesungguhnya semua ayat Al-Quran itu adalah penawar, walau bagaimanapun ayat yang berhubung kait dengan azab, jin dan syaitan dan peringatan adalah memberi kesan terhadap jin/syaitan atau akan memudaratkan mereka jika dibacakan kepada pesakit yang mengalami masalah yang berpunca daripada gangguan jin dan syaitan.

Beliau menyenaraikan ayat-ayat seperti berikut:

1. Ayat terawal daripada surah al-Baqarah ayat 1-4 (dan yang biasa dibaca ayat 1-5)


2. 2 ayat pertengahan surah al-Baqarah (ayat 163-164)


3. Ayat kursi dan dua ayat sesudahnya (ayat 255-257)


4. 3 ayat terakhir daripada surah al-Baqarah (ayat 284-286)


5. 4 ayat terawal daripada surah al-Imran (ayat 1-2 dan 18-19)


6. 3 ayat daripada surah al-A'raaf (ayat 54-56)


7. 4 ayat terakhir daripada surah al-Mu'minun (ayat 115-118)


8. Ayat ke-3 daripada surah al-Jin


9. 10 ayat terawal daripada surah ash-Shaffat (ayat 1-10)


10. 4 ayat terakhir daripada surah al-Hasyr (ayat 21-24)


11. 4 ayat daripada surah ar-Rahman (ayat 31-34)


12. 2 ayat terakhir daripada surah al-Qalam (ayat 51-52)


13. dan ditambah dengan surah 4 Qul (al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas).


Bacalah...

RASULULLAH Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud: "Bacalah surah Yaasin kerana ia mengandungi keberkatan", iaitu:

1. Apabila orang lapar membaca surah Yaasin, ia boleh menjadi kenyang.


2. Jika orang tiada pakaian boleh mendapat pakaian.


3. Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.


4. Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.


5. Jika terpenjara akan dibebaskan.


6. Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.


7. Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya.


8. Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia, Allah meringankan siksanya.


9. Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.


10. Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar daripada penyakitnya.


11. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati al-Quran itu ialah Yaasin. Sesiapa membaca surah Yaasin,nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak10 kali.


12. Sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam lagi, "Apabila datang ajal orang yang suka membaca surah Yaasin pada setiap hari,turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut.
Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya".


13. Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yaasin sehingga datang
Malaikat Ridhwan dari syurga membawa minuman untuknya.Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.


14. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda selanjutnya: "Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yaasin dan rakaat kedua Tabaroka (surah Al-Mulk), Allah jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya di tangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik.



BERSAMA PAK LONG ( SYIEKH MUHAMMAD B. ABD. KADIR AL-MANDILIE DI MEKAH)




Surah Khausar




Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik.

Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:-

1) Baca surah ini ketika hujan dan berdoa, mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta'ala makbulkan doa kita.

2) Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher, Insya' Allah hilang dahaga.

3) Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

4) Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x, mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

5) Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.

6) Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat.

7) Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.


DOA DAN KHAFIAT

Oleh: Ismail bin Abu Bakar

Ada satu doa yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Doa yang dimaksudkan seperti sabda Rasulullah s.a.w. seperti berikut;


Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut. Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut;



Kelebihan Doa


Terhindar Daripada Bahaya
Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya

Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar.



Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan

Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.


Terhindar Daripada Sihir

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.


Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.